Tuesday, May 6, 2008

Garis panduan, Kriteria lantik Naib Canselor

Petikan daripada Berita Harian (6 Mei 2008)

KEMENTERIAN Pengajian Tinggi ingin merujuk surat yang disiarkan dalam ruangan ini pada 16 dan 17 April mengenai syor lantikan Naib Canselor perlu lulusan Doktor Falsafah (PhD).

Dalam usaha memperkasakan Institusi Pengajian Tinggi, kementerian melancarkan Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara pada 2007.

Antara strategi yang digariskan adalah untuk memantapkan sistem urus tadbir Institusi pengajian tinggi dengan meningkatkan keberkesanan pengurusan dan penyampaian perkhidmatan yang dinamik, berkualiti dan integriti.



Bagi pelantikan Naib Canselor di IPTA, Kementerian Pengajian Tinggi menubuhkan Jawatankuasa Carian, yang keahliannya terdiri daripada tokoh terkenal dalam pelbagai bidang dan memegang jawatan penting. Jawatankuasa itu akan menerima pencalonan, menyenarai pendek, mengenal pasti serta mencadangkan calon yang berkelayakan untuk dilantik sebagai Naib Canselor.

Selain itu, kementerian juga menetapkan kriteria yang perlu diambil kira dalam pemilihan seseorang Naib Canselor. Pelantikan Naib Canselor perlu diberi keutamaan kepada warga negara Malaysia yang layak.

Pemilihan Naib Canselor melalui proses temu duga adalah berasaskan kepada kriteria berikut:
  • Visi dan Misi.
  • Kepemimpinan dan Pengurusan.
  • Pencapaian Akademik.
  • Pengiktirafan.
  • Keperibadian Unggul.
  • Fasih berkomunikasi dalam bahasa Malaysia dan Inggeris.
  • Lain-lain (laporan penilaian daripada bekas Naib Canselor).

Pencapaian akademik yang dimaksudkan adalah seperti berikut:

  • Di kalangan sarjana yang memaparkan pencapaian dan sumbangan akademik yang sangat istimewa kualiti dan nilainya serta mengatasi rakan akademik yang lain;
  • Mempunyai keupayaan untuk dihormati rakan akademiknya berdasarkan merit dan kredibiliti kesarjanaannya, dan
  • Mempunyai kuasa dalam disiplin ilmunya dan mampu memberikan kepemimpinan akademik yang baik bukan saja kepada mahasiswa, malah juga penyelidik, rakan akademik serta masyarakat.

NUR ASHIKIN OTHMAN,

Ketua Unit Media dan Komunikasi Korporat,

Kementerian Pengajian Tinggi.

************************************************************************************

DNA ingin mengutarakan persoalan kriteria pemilihan Naib Canselor (NC). Komen balas oleh Ketua Unit Media dan Komunikasi Korporat, KPT, mengenai pemilihan Naib Canselor adalah sekadar menjalankan tugas hakiki beliau sahaja. Kita semua harus maklum bahawa pemilihan NC bukan sekadar perlu menepati kriteria yang ditetapkan oleh KPT, tetapi ia lebih berpusarkan kepada pengaruh dan mainan politik sahaja. DNA perhatikan, jawatan NC sudah menjadi rebutan dikalangan ahli akademik (mcm ahli politik dah). Apabila sesuatu jawatan yg bersifat akademik atau ber'intelek', ia seharuslah menyusuri norma-norma atau etika intelektual itu sendiri. Rata-rata ahli akademik hari ini sudah lebih gemar menjadi ahli politik. (barang kali mereka dapat jawatan NC daripada org politik gak kot).

Jadi, misi dan visi universiti sudah mula diketepikan. NC yang ada pada hari ini lebih gemar mendengar atau bahasa indahnya menyondol ahli-ahli politik bagi melobi jawatan tersebut. Kita boleh lihat sendiri apa yang terjadi kepada NC UMS Prof Datuk Dr. Halimi Mohd Noor. Jawatan yg bakal beliau tinggalkan sudah menjadi rebutan oleh akademik yang bercita-cita tinggi untuk dimasyhurkan ke jawatan tersebut. DNA ingin memperjelaskan di sini bahawa UNIVERSITI adalah tempat untuk melahirkan teknokrat atau graduan berilmu tinggi. Malangnya apabila bakal-bakal NC waima TNC yg ada ketika ini lebih mementingkan agenda peribadi daripada hala tuju universiti, siapa yang menjadi mangsa? Apa akan terjadi apabila NC atau TNC ini membawa kaum kerabat, sanak saudara, geng-geng atau kroni ke dalam Universiti masing-masing? Bagaimanakah bentuk kualiti pensyarah yang diambil oleh Universiti sekiranya datang daripada kroni sendiri? Ini DNA hendak membuka minda kita bersama. Sekiranya keadaan ini berlanjutan, maka tidak mustahil di masa akan datang semua IPTA yang ada ketika ini akan menjadi kuil sahaja. Kenapa menjadi kuil? Lu pikirlah sendiri (nabil raja lawak).

Banyak lagi contoh yang boleh kita lihat berlaku di IPTA lain seperti di UM ketika ini NC nya sudah menjadikan UM sebagai tapak membina wang. dengan menjualkan sebahagian tanah kepada pemaju semata-mata mencari kemewahan diri tanpa memikirkan masa depan menara gading terulung di negara kita. Inilah akibatnya apabila pemimpin yang dipilih bukan dikalangan ahlinya, malapetaka la yang akan menimpa. Mungkin di UPSI masih belum kelihatan lagi aksi sebegitu. tetapi bibit-bibitnya sudah kelihatan. Moga Allah hindarkan kita daripada pemimpin yang zalim.

DNA mengesyorkan agar pemilihan jawatan penting seperti NC, TNC-TNC hendaklah dilakukan dengan mengambil semua sudut pandangan bukan sahaja pandangan dari Jawatankuasa Carian KPT atau bekas NC atau kriteria-kriteria yang ditetapkan, tetapi pemilihan hendaklah mengambil pendapat dari semua pihak seperti Professor Emeritus, professor berpengalaman, ahli akademik bebas, pihak polis, masyarakat setempat, waima mahasiswa sekalipun boleh dilibatkan. DNA mahu melihat Universiti khususnya IPTA ditadbir oleh AHLINYA bukan pelobi jawatan. Oleh itu polemik yang dimainkan oleh KPT dalam kriteria memilih NC adalah suatu retorik dan mainan politik ahli akademik. Hatta, kelulusan yang dimiliki oleh seseorang NC atau TNC belum tentu lagi benar dan sahih. Ini kerana sudah terbukti ramai ahli akademik tiruan masa kini dengan mendustakan, menciplak, memalsukan, copy n paste tesis,kajian,jurnal dan buku2. (DNA yakin tenaga akademik di UPSI x mcm tu..hehe..). Harapannya agar berlakulah reformasi di dalam dunia melahirkan teknokrat ini agar ia dipimpin oleh insan yang ahlinya.

Renungan dan pandangan untuk kita bersama.

Mari kita hayati Firman Allah: (maksudnya) "Sesungguhnya Allah menyuruh kamu memberikan amanah kepada yang berhak menerimanya dan apabila kamu berhukum di kalangan manusia maka hendaklah kamu berhukum dengan adil. Sesungguhnya Allah memberikan pengajaran yang sebaik-baiknya kepadamu." (Surah an-Nisa' ayat 58).

No comments: